Bila sebut 'cekodok'...macam buruk je bunyi nya. CEKODOK ni ialah sejenis makanan berasaskan tepung gandum yang digoreng. Juadah yang pada Norma sangat popular di kalangan masyarakat Melayu. Selain nama 'cekodok', ada juga yang gelar 'jemput-jemput' (mungkin sebab bila kita nak menggoreng, kita ambil 'sejemput' menggunakan hujung jari???) ada juga yang memanggil 'cucur' (yang ni tak tahu nak kait kan dengan apa ye?? hehehe).
Cekodok ni boleh dibuat dengan pelbagai bahan, asal ada je yang boleh dimakan....boleh aje di'cekodok'kan...yang popular, ikan bilis, udang, bawang, sayur-sayuran, buah sukun, isi ayam, butir jagung, buah nangka, bak kata...apa sahaja lah. Norma pernah makan cekodok ikan (isi ikan kembung)...sedap rupanya. Tapi kali ni nak kongsi resipi 'CEKODOK GERAGAU'. Geragau ini adalah sejenis makanan laut berupa 'udang kecil' yang biasa digunakan untuk membuat belacan dan cencaluk. Di kampung Norma di Melaka memang popular lah udang geragau ni. Norma pernah makan geragau basah yang baru naik dari laut, dimasak asam rebus, tak silap dengan keladi...tapi dah lama dulu lah. Geragau basah juga sedap dibuat cekodok ni, lebih manis rasanya.
Tapi, di sini Norma gunakan geragau kering (dibeli di Malaysia). Norma pernah terjumpa geragau kering dijual di PANDA Huwaylatt, Fanateer (di bahagian Ethnic/Asian Food), mungkin dari Indonesia ataupun Thailand.
Bahan-bahan:
2 cawan tepung gandum
2 sudu besar butter/marjerin
1/2 sudu kecil garam
1 biji telur
1 1/2 cawan air suam panas
1 cawan geragau kering (dibilas dengan air dan ditoskan)
1/2 cawan jagung (yang segar atau dalam tin)
1/2 cawan daun sup dan daun bawang (dihiris halus)
sedikit cili merah (diracik halus)
Cara-cara:
- Masukkan tepung ke dalam mangkuk besar. Masukkan garam. Gaul rata.
- Ramaskan butter/marjerin yang sudah dilembutkan (suhu bilik) ke dalam tepung tadi sehingga menjadi seperti serbuk roti.
- Pecahkan telur dan kacau rata (nak guna whisker atau jari jemari pun boleh, asalkan tepung sekata dengan telur tadi)
- Masukkan air suam panas sedikit-sedikit ke dalam tepung, sambil mengacau....kena guna whisker atau senduk sebab air panas tuuu.... Adun mengikut kelikatan, tidak terlalu cair dan tidak terlalu pekat...asalkan mudah di'cekut' apabila hendak menggoreng.
- Akhir sekali, masukkan geragau, jagung, daun sup dan daun bawang serta cili tadi. Kacau rata dan biar sebentar (5-10 minit) sebelum digoreng dengan minyak panas.
Tips:
- nak lagi sedap, masukkan cili kering atau cili hidup yang ditumbuk...
- nak buat letak geragau sahaja pun boleh. Bahan-bahan lain tu sampingan sahaja.
- minyak perlu cukup panas, dan api tidak terlalu besar...baru cekodok cantik digoreng.
- Teknik menggunakan air panas dan butter ni dipelajari dari kawan Norma di Jubail ni. Beliau kata, cekodok akan lembut dari pagi sampai malam...hehehe...memang betul pun, cekodok tidak akan keras walaupun sudak sejuk...cubalah.