Showing posts with label makanan laut. Show all posts
Showing posts with label makanan laut. Show all posts

Saturday, June 25, 2011

CEKODOK GERAGAU

Bila sebut 'cekodok'...macam buruk je bunyi nya.  CEKODOK ni ialah sejenis makanan berasaskan tepung gandum yang digoreng.  Juadah yang pada Norma sangat popular di kalangan masyarakat Melayu.  Selain nama 'cekodok', ada juga yang gelar 'jemput-jemput' (mungkin sebab bila kita nak menggoreng, kita ambil 'sejemput' menggunakan hujung jari???) ada juga yang memanggil 'cucur' (yang ni tak tahu nak kait kan dengan apa ye?? hehehe).
Cekodok ni boleh dibuat dengan pelbagai bahan, asal ada je yang boleh dimakan....boleh aje di'cekodok'kan...yang popular, ikan bilis, udang, bawang, sayur-sayuran, buah sukun, isi ayam, butir jagung, buah nangka, bak kata...apa sahaja lah.  Norma pernah makan cekodok ikan (isi ikan kembung)...sedap rupanya.  Tapi kali ni nak kongsi resipi 'CEKODOK GERAGAU'.  Geragau ini adalah sejenis makanan laut berupa 'udang kecil' yang biasa digunakan untuk membuat belacan dan cencaluk.  Di kampung Norma di Melaka memang popular lah udang geragau ni.  Norma pernah makan geragau basah yang baru naik dari laut, dimasak asam rebus, tak silap dengan keladi...tapi dah lama dulu lah.  Geragau basah juga sedap dibuat cekodok ni, lebih manis rasanya.  
Tapi, di sini Norma gunakan geragau kering (dibeli di Malaysia).  Norma pernah terjumpa geragau kering dijual di PANDA Huwaylatt, Fanateer (di bahagian Ethnic/Asian Food), mungkin dari Indonesia ataupun Thailand.  
Bahan-bahan:
2 cawan tepung gandum
2 sudu besar butter/marjerin
1/2 sudu kecil garam
1 biji telur
1 1/2 cawan air suam panas
1 cawan geragau kering (dibilas dengan air dan ditoskan)
1/2 cawan jagung (yang segar atau dalam tin)
1/2 cawan daun sup dan daun bawang (dihiris halus)
sedikit cili merah (diracik halus)

Cara-cara:
  1. Masukkan tepung ke dalam mangkuk besar.  Masukkan garam.  Gaul rata.
  2. Ramaskan butter/marjerin yang sudah dilembutkan (suhu bilik) ke dalam tepung tadi sehingga menjadi seperti serbuk roti.  
  3. Pecahkan telur dan kacau rata (nak guna whisker atau jari jemari pun boleh, asalkan tepung sekata dengan telur tadi)
  4. Masukkan air suam panas sedikit-sedikit ke dalam tepung, sambil mengacau....kena guna whisker atau senduk sebab air panas tuuu....  Adun mengikut kelikatan, tidak terlalu cair dan tidak terlalu pekat...asalkan mudah di'cekut' apabila hendak menggoreng.  
  5. Akhir sekali, masukkan geragau, jagung, daun sup dan daun bawang serta cili tadi.  Kacau rata dan biar sebentar (5-10 minit) sebelum digoreng dengan minyak panas.
Tips:
  • nak lagi sedap, masukkan cili kering atau cili hidup yang ditumbuk...
  • nak buat letak geragau sahaja pun boleh.  Bahan-bahan lain tu sampingan sahaja.
  • minyak perlu cukup panas, dan api tidak terlalu besar...baru cekodok cantik digoreng.
  • Teknik menggunakan air panas dan butter ni dipelajari dari kawan Norma di Jubail ni.  Beliau kata, cekodok akan lembut dari pagi sampai malam...hehehe...memang betul pun, cekodok tidak akan keras walaupun sudak sejuk...cubalah.

Saturday, June 18, 2011

ASAM REBUS berSOS TIRAM...

 *Norma guna ikan selar untuk asam rebus tengahari tadi...Alhamdulillah, sedap juga.

Bertemu kembali di Yummylicious...wahh macam rancangan memasak kat TV la pulak...  jauh sekali.  Kali ni nak kongsi makanan atau lauk favorite kami anak-beranak...actually, lauk favorite ummi (sebab mudah dan cepat) so bila ummi selalu masak dan sesuaikan dengan citarasa anak-anak kecil dalam rumah ni, jadi favorite dish mereka la akhirnya...hehehe...

Tak lupa juga, favorite abah tercinta, kalau ummi buat...kuahnya perlu 'meladung' @ banyak...ikan sekerat dua je...kuah seperiuk! sebab abah akan makan 'nasi banjir' kalau ada lauk asam rebus ni.

Bahan-bahan:
Ikan selar/kembung/tenggiri/cencaru/merah (atau apa sahaja ikan yang ada dalam peti ais ye)
Beberapa ulas bawang merah (Norma suka guna bwg kecil)
Cili kering
Sedikit kunyit hidup (dalam 2-3 cm = 1 liter kuah)
Beberapa keping asam gelugor/keping
Garam 
Sayur bendi/terung/timun
Daun kesum dan bunga kantan (kat Jubail ni tak dak, so Norma tak letak lerr...)
Tomato (belah 4)
Sos tiram (2 sudu besar untuk 1 liter air)

Cara:
  1. Kunyit hidup, cili kering dan bawang merah ditumbuk lumat, bersama sedikit garam.
  2. Sediakan periuk, letakkan ikan dan bahan ditumbuk tadi, asam keping, dan sedikit air.  
  3. Renihkan sebentar, apabila ikan sudah bertukar warna dan menyerap bahan tumbuk tadi, tambahkan air mengikut jumlah yang dikehendaki (tetapi jangan terlalu cair sampai tak terasa bahan tumbuk tu kan...)
  4. Tutup periuk sedikit dan biarkan asam rebus tadi mendidih, apabila ikan agak masak, masukkan sayur bendi dan tomato, tutup kembali periuk.
  5. Akhir sekali masukkan sos tiram dan rasakan lah masamnya dan garam nya.  Tak cukup masam, tambahkan lagi asam keping tu ye.  Tapi, kurangkan masin ye...blood can go upstairs!
  • Norma tak pasti kalau ganti sos tiram dengan sos ikan @ Nampla...mungkin boleh kut (tak pernah cuba).
  • Jika suka, letakkan sedikit gula untuk menaikkan rasa asam rebus tadi....gula boleh digunakan untuk seimbangkan rasa kuah).  Kecur aihhh...sebab kalau kena rasa pedas, masamnya...mmmpphhh.
  • Resipi asam rebus bersos tiram ni Norma belajar sejak di ITM Arau dulu (sekitar tahun 1994 dulu...hehehe...mak aiiii lamanyaaa..)  Tapi masa tu bukan Norma belajar masak pun, kami sekeluarga makan di sebuah warung di Kuala Perlis tak silap, ada lauk asam rebus ni...memang favorite mak dan arwah abah lah, bila mak makan masa tu, dia lihat kuah asam rebus di kedai tu sedikit pekat dan rasa lain daripada yang mak biasa buat, bila mak tanya tuan kedai tu, dia kongsi lah resipi ni...katanya dia tambah sos tiram dalam asam rebus dia nak bagi sedap...memang sedap... Tapi lagi sedap kalau ada daun kesum dan bunga kantan, wangi.



Thursday, June 9, 2011

KETUPAT SOTONG ALA TERENGGANU

Bahan-bahan:
1 kilo sotong segar saiz sederhana
>sotong dibersihkan dan dibuang kulit luarnya sehingga putih bersih.  
>ditos hingga betul-betul kering, nak lebih cepat, letak di dalam peti sejuk, sotong akan cepat sejat air.

Pulut sumbat:
2 cawan beras pulut
1 cawan santan cair
sedikit garam dan gula
sedikit air
>pulut direndam 1 jam dan dicuci bersih.  
>tanak pulut bersama santan dengan menambah air secukupnya (apabila pulut diletakkan di dalam periuk, masukkan santan sehingga pulut kelihatan tenggelam sahaja.   
>masukkan garam dan gula, gaul sebati dan tanaklah pulut sehingga masak dengan api yang kecil dan periuk bertutup.
>setelah pulut masak,  buka penutup dan sejukkan pulut sehingga tiada wap lagi.
>pulut yang telah sejuk, dikepal mengikut saiz sotong dan disumbat 3/4 penuh ke dalam sotong.  Semat dengan lidi.  Lakukan sehingga selesai kesemuanya.

Kuah ketupat sotong:
2 cawan santan cair
2 cawan santan pekat
3 ulas bawang merah kecil, dihiris halus
2 inci halia, dihiris halus
1 sudu besar biji halba
sedikit gula dan garam
>didihkan santan cair dengan api yang kecil didalam periuk yang luas permukaan (agar senang untuk menyusun kesemua sotong supaya tidak bertindih).  
>susunkan sotong yang telah diisi pulut tadi ke dalam santan yang sedang mendidih.  Jika boleh, jumlah santan cair tadi menenggelamkan sotong 
>setelah sotong kelihatan hampr masak (selepas anggaran 10 minit), masukkan santan pekat, bawang, halia, halba, sedikit gula dan secubit garam.  Kacau perlahan agar kesemua bahan sebati di dalam kuah ketupat sotong tersebut.
>apabila kuah kelihatan sedikit pekat, sotong juga sudah masak, matikan api dan ketupat sotong sedia dihidang.  Sedap dinikmati begitu sahaja...

*resipi diadaptasi dari myresipi.com dan diubahsuai mengikut citarasa*